Suatu
ketika tatkala Rasulullah s.a.w. sedang bersiap di medan perang Uhud,
tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama
Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda s.a.w.. Dia rupanya ingin
masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah s.a.w. Amar ini
berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam
setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar ini
enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol
dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya
menyerunya kepada Islam, ia menjawab, “Kalau aku tahu kebenaran yang aku
kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya.” Demikian
angkuhnya Amar.
Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah s.a.w. , menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. . Pedangnya yang tajam ikut dibawanya.
Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira,
tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Tetapi orang
ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk
menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai
mengetahui keIslamannya. Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan
peperangan. Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan
keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai
dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia
jatuh pengsan.
“Untuk apa ikut ke mari ya Amar?” Demikian tanya orang yang hairan
melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira Amar ini
masih belum Islam lalau mengikut sahaja pada orang ramai. Dalam keadaan
antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, “Aku sudah beriman kepada
Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan
perang. Allah s.w.t. akan memberikan syahidah padaku dalam waktu yang
tidak lama lagi.” Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi
sebagai pahlawan syahid.
Waktu hal ini diketahui Rasulullah s.a.w. ,
maka Baginda s.a.w. pun bersabda,: “Amar itu nanti akan berada dalam
syurga nantinya.” Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar
dengan penuh takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a
sahabat yang banyak mengetahui hadith Rasulullah s.a.w. berkata kaum
Muslimin, “Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang
dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah s.w.t..”
“Jika kamu tidak tahu orangnya.” Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia
pun menyambung, ujarnya, “Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar
bin Thabit.” Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian
indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para
sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat
persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia
menemui Rasulullah s.a.w.. Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang,
sebagai mujahid yang berani. Akhirnya tewas dia dengan mendapat
syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid. Mati membela agama
Allah s.w.t. di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang
memiliki julukan syahid. Rasulullah s.a.w. menjamin syurga bagi orang
seperti Amar ini.
0 komentar:
Posting Komentar